Friday 8 April 2011

Saya mesti muslim dari sudut akhlaq.

Setiap muslim tidak lengkap sekadar mengungkapkan kata bahawa dia itu adalah Islam semata. Dalam mencorak kehidupan kita di dunia ini wajarlah kita ingat sesungguhnya antara perkara yang perlu kita ingat sebagai khalifah bukan sekadar hanya menjaga hubungan dengan Allah malah sesama makhlukNYA. Solat umpamanya andai kita hayati sepenuhnya adalah satu satu ibadah yang mengajar kita untuk tunduk dan patuh pada Allah,merendahkan diri kita kepadaNYA dan mengakui kebesaran Allah sebagai pencipta. Pernah tak kita terfikir bahawa salam yang kita ungkapkan dihujung solat itu untuk siapa? Salam itu bukan untuk Allah,ia sebenarnya untuk makhluk- malaikat, manusia dan segala makhluk lain di sekeliling kita. Indahnya Islam itu mengajar kita bahawa kehidupan kita di dunia ini bukan sekadar antara kita dengan Pencipta sahaja tetapi juga pada seluruh makhluk lain di bumi ini. Wajib ada dalam setiap seorang Islam itu akhlaq yang mulia. Antara ciri-cirinya:-


1) Warak 
Menjaga hak-hak Allah dan manusia lainya. Sentiasa berjaga-jaga dalam perkara-perkara yang syubahah,yang haram tetap haram dan yang halal tetap halal.


2) Menjaga Pandangan
Seorang muslim wajib menjaga pandanganya dari melihat sesuatu yang haram. Ingatlah bahawa salah satu panahan syaitan adalah daripada pandangan mata.


3)Pelihara Lidah
Wajib memelihara lidah daripada kata-kata yang tidak berfaedah seperti mengumpat,mengata orang lain dan sebagainya.


4)Malu
Malu dalam semua keadaan. Ingatlah bahawa malu itu adalah sebahagian dari iman.


5)Lemah lembut dan sabar
Firman Allah:-
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ ﴿١٠
Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (Surah Az-Zumar ayat 10)


6) Benar dan jujur
Sentiasa berkata benar walau pun pahit. Sifat dusta adalah sifat yang hina.


7)Tawaduk
Sentiasa merendah diri, jauhkan dari perasaan sombong. Muslim sejati ialah mereka yang tidak ada langsung perasaan takbur dan bangga diri.


8)Menjauhi sangka buruk,mengumpat dan mengejek keburukan orang lain.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat ayat12)


9) Bersifat pemurah


لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۗ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّـهِ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ 

وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٢
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. (Surah Al Baqarah ayat 272)

10) Contoh teladan yang baik
Sentiasa menunjukkan akhlak yang baik dan menjadi model kepada orang lain.



Semoga perkongsian serba kekurangan ini boleh membawa manfaat buat semua terutamanya diri saya sendiri. Minta maaf atas segala kekurangan..

No comments:

Post a Comment