Tuesday 25 October 2011

Adat VS Ibadat?

Surah Al-Baqarah [2] : 170
  Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"

Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)

Ayat di atas di turunkan oleh Allah SWT mengisahkan tentang keingkaran orang-orang kafir di zaman Rasulullah SAW sewaktu mereka di seru agar beriman kepada Allah SWT. Masyarakat Jahiliyah ini amat mengagungkan tradisi atau budaya yang di warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Bagaimanapun, sebagaimana Al Quran itu menjadi petunjuk bagi mereka yang mengetahui dan berfikir, jelas bahawa ayat ini bukanlah di turunkan kepada umat di zaman Rasulullullah sahaja malah wajar di jadikan pengajaran sepanjang ketiadaannya juga.

Ummi ingin berkongsi cerita tentang fenomena dalam masyarakat kita. Terdapat fenomena baru dalam masyarakat kita apabila melakukan atau menunaikan ibadah kepada Allah ada saja kepercayaan atau pun budaya yang kononnya baru di masukkan dalam melaksanakanya. Ceritanya begini, Ummi baru saja di berikan oleh Abi bahawa ada sahabatnya yang ingin mengakikahkan anaknya dengan seekor kambing. Maka seperti biasa kita akan adakanlah jamuan untuk akikah itukan? Seronoknya tentang jamuan itu ia akan di adakan di Morib, dengan stail barbecue pula kambing itu. Lantas Ummi terus menggelengkan kepala dan istifar panjang. Lalu bertanyalah Abi kenapa Ummi reaksinya begitu. Lama Ummi diam agar Ummi menjawab dengan hikmah.

Lantas Ummi ceritakan padanya satu ungkapan Ulama' terkenal Malaysia iaitu Dr. Hassan Din Al-Hafiz, katanya sebarang ibadah yang di jalankan seandainya ada unsur-unsur maksiat atau riak dan sebagainya maka hilanglah barokah pada ibadah itu...Inilah yang kita takuti dalam masyarakat kita hari ini. Unsur-unsur maksiat, riak, kesombongan, hiburan keterlaluan, sangat berleluasa. Abi kemudian menambah pula, mana awak tahu orang tu sombang, dia nak buat suka-suka apa salahnya? Haa...itulah dia! Akikah bukan jamuan suka-suka. Ia di lakukan sebagai menebus diri anak yang lahir itu dan sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah atas kurniaan yang sangat berharga itu. Ummi jawab sekali lagi dengan Abi, memanglah riak, ikhlas itu hanya Allah saja yang Maha Mengetahui kerana ia rahsia hati manusia cuma kita boleh dapat melihatnya secara zahir. Maaflah andai kata ada yang tidak bersetuju,tapi pada Ummi pemilihan tempat, menu dan agenda suka-suka itu bukan sesuatu yang di anjurkan dalam Islam. Itulah yang Ummi cuba jelaskan.

Dalam masyakat kita hari ini, majlis barokah yang di penuhi dengan sempada syariat sukar di cari. Kebanyakkanya adalah budaya semata-mata. Sedihnya, ada antaranya ibadah ikut-ikutan sahaja. Walimatul urus, akikah, cukur jambul, melenggang perut, bertunang..Amalan-amalan ini yang sepatutnya mendatangkan pahala dan sedekah besar buat kita, kini malah menjadi dosa pula...Nauzubillahhiminzalik..

Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah Subhana wa Ta’ala, dengan mendengar dan taat, meskipun yang memerintahkan kamu adalah seorang budak dari Habsyah. Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.” [0040] Sahih Ibnu Majah

Kembalilah kepada Islam yang benar. Sekurang-kurangnya ambillah tahu bagaimana sewajarnya sesuatu ibadah itu wajar di lakukan, bukan sekadar ikut-ikutan sahaja. Ummi tak kata mengikut budaya itu salah, tapi berhati-hatilah pada yang benar-benar salah...Takut ia memang salah, sesalah-salahnya... 

Wallahualam.

Wednesday 19 October 2011

Kisah Anak-Anak dan Kesempurnaan..

Hari ini,sedari pagi Ummi banyak sangat berfikir. Agaknya ini hari untuk merenung-renung diri kot! hehehe... Semalam sepanjang hari Ummi rasa sangat tidak sedap badan dan entah mengapa, kita yang selalu jugak rasa tak selesa badan ni selalu juga tak mengambil ikhtibar. Seperti selalu,kerenah anak-anak memang sukar di mengertikan. Hmm..anak-anak,apalah yang faham tentang penderitaan ibu bapa. Sudah lumrah, keseronokan bermain yang lebih utama. Memang tak asing juga bila ibu bapa kerap marah dengan situasi ini.

Ummi punya anak-anak yang sangat aktif. Sehingga Ummi melihat ramai orang selalu menggelengkan kepala bila melihat ragam dan kerenah anak-anak Ummi. Aduh,alangkah malu dan seganya Ummi bila berada di khalayak umum. Adakalanya Ummi mampu tersenyum pahit sahaja. Ironinya bila berada di rumah, kesabaran Ummi bagai di mamah-mamah rasanya! Sudahlah bekalan sabar yang ada di dalam dada Ummi ni pun bukanya sebanyak mana. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia, semoga Ummi dibekalkan kesabaran yang lebih tinggi.

Ummi pernah juga berbual dengan adik dan beberapa sahabat Ummi,ternyata kami para ibu ini memang sukar mengekang kemarahan apabila ia tiba. Kemuncaknya apabila rotan di gunakan sebagai medium untuk mendidik anak-anak. Kononya rasa puas, tapi entah berjaya atau tidak didikanya. Esok lusa anak-anak ini mengulangi lagi kesilapan semalam. Ummi mohon banyak-banyak agar Ummi diberi kesabaran,itu sajalah rasanya yang mampu Ummi perbuat. Semoga sahabat yang membaca coretan Ummi juga mendoakan Ummi agar banyak-banyak sabar,Insya Allah...

Teringat Ummi kata-kata Dr.Fadzilah Kamsah, katanya anak-anak yang aktif adalah anak-anak yang bijak. Kalau dia jenis budak yang diam saja,dia bukanlah tergolong dalam anak-anak yang cerdas. Semoga apa yang dibicarakan itu menjadi kenyataan, insya Allah. Kekadang Ummi juga sedar dalam melahirkan generasi baru ini cabaranya cukup hebat apalagi andai kita sangat-sangat mengharap pada kesempurnaan..Sebagai perkongsian Ummi ingin berkongsi catatan daripada seorang insan yang pernah banyak Ummi belajar daripada. Semoga menjadi manfaat kita bersama terutama dalam mendidik anak-anak. Kita tidak sempurna, begitu jugak mereka anak-anak kita..Sempurna itu milik Allah. Moga-moga peringatan ini tetap Ummi ingati sepanjang mendidik anak- anak Ummi Insya Allah!


Tiada yang sempurna (Untuk OCD's)

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya.

Sewajarnya sebagai umatnya, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim.

Firman Allah bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.”

(al-Isra’:110)

Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud:

“Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Berusahalah mengikis sikap 'perfectionist' di dalam diri yang selama ini menyebabkan kita terperangkap dalam dunia 'serba tak kena' ini. Tidak dinafikan terdapat individu perfectionist yang menempa kejayaan didalam hidup mereka. Tetapi berapa kerat? Jika dengan sikap perfectionist ini menyebabkan kita mudarat, apa perlunya kita memiliki sifat ini?

Bagi saya, jika kita ingin kekal dengan sifat perfectionist, kita tidak boleh hidup didunia ini dan terlibat dengan orang lain, dan ini adalah sesuatu yang mustahil. Dengan gangguan OCD ini, sikap perfectionist membuat kita menjadi lebih tersiksa. Bayangkanlah, mana ada didalam dunia ini, dimana orang lain tahu apa yang kita fikirkan.

Contohnya seperti kita mahu turun dari tangga dan menuju ke sinki dapur, dan kita tidak mahu ada sesiapa menegur kita sehingga kita ke sinki, tetapi, bagaimana jika ada orang lain di rumah? tentu kita akan ditegur bila-bila masa, mungkin kita akan ditanya sesuatu perkara dan sebagainya. Ini adalah hakikat kehidupan normal. Dan orang yang menyapa kita itu melayan kita sebagai seorang normal dan waras. Tetapi kebanyakan OCD's boleh terganggu dan terasa ingin naik semula ke atas dan turun semula tanpa ditegur. Jika second round pula ada orang lain pula menyapa kita, atau telefon bimbit berbunyi? bagaimana? rasa ingin terduduk dan marah? Ini sebagai contoh kecil sahaja.

Bila perkara seperti ini berlaku, atau dalam senario yang lain (mungkin gangguan pada individu lain didalam bentuk lain, tetapi hakikatnya sama), apa yang perlu kita lakukan untuk menteramkan jiwa kita yang terganggu?

Ingatkan diri bahawa, apa yang kita hadapi ini adalah kehidupan normal manusia, dan cara pemikiran kita yang perfectionist itu membuatkan kita terpenjara. Cuba fahami ini: Apakah maksud PERFECT? = SEMPURNA.

Siapakah yang sempurna? Tiada sesiapa yang sempurna, Hanya ALLAH SWT SAHAJA YANG MAHA SEMPURNA. Adakah kita ingin menjadi Tuhan?..Oleh kerana kita bukan Tuhan, tetapi hamba, maka kerana itulah sifat perfectionist ini tidak sesuai dimiliki atau dilayan oleh kita.

Kemasan cadar tidak betul-betul rata dan licin?..katakan :

habis tu, mengapa? masuk nerakakah? Berdosakah?

Susunan buku tidak mengikut laras geometri yang tepat, katakan:

Habis tu, mengapa? adakah salah disisi Allah perkara itu?

Kita setiap hari mengucapkan:

Sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku hanya semata-mata kerana Allah SWT, Tuhan Semesta Alam.
(setiap hari 5 kali sehari kita mengulangi kalimat ini didalam solat). Maka terapkan dalam hati kita, segala yang kulakukan adalah kerana Allah, jika susunan buku itu membuat aku terganggu, adakah aku ini terganggu kerana cara susunan buku yang salah itu berdosa disisi Allah? sama sekali tidak. Maka mengapa aku mesti merasa terganggu?

Begitu jugalah dengan perkara-perkara lain, serta merta ingatkan apakah hukumnya perkara yang kita rasa terganggu itu disisi Allah. Ingatlah, bahawa hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

SUMBER :-
http://husnuzzonloa.blogspot.com/2011/10/tiada-yang-sempurna-untuk-ocds.html oleh ARJUNASETIA

Tuesday 11 October 2011

Hal Jiran Tetangga!

Ummi hari ini mendengar suatu kisah yang disampaikan oleh seorang sahabat kepada Ummi. Katanya heboh di kalangan 'beberapa orang jiran tetangga' yang bercerita perihal kaum keluarga Ummi yang terdekat. Kononya baru mengetahui bahawasanya Ummi tergolong dalam golongan keluarga yang semuanya berpelajaran tinggi. Secara automatik Ummi membentak dalam hati!

Jadi,selama ini bila Ummi di tanya tentang kelulusan Ummi rupanya dalam hati memperkecilkan atau tidak benar-benar percaya apa yang Ummi ceritakan atau Ummi miliki? Pernah suatu ketika dahulu, Ummi di minta untuk mengajar tuisyen bagi pelajar-pelajar UPSR. Yang minta tolong tu satu,tapi sibuk juga sesetengah yang lain itu mempertikaikan adakah Ummi ini layak mengajar? Sampai ada yang bertanya dengan Ummi,kelayakan apa Ummi ada, STPM,Diploma atau Ijazah? Wah,wah,wah...setakat nak ajar tuisyen budak UPSR dah banyak ceritanya..Walhal kalau si tuan punya diri tu boleh mengajar sendiri atau boleh mencari guru yang lebih baik,silakanlah cari guru yang lain. Ini hantar pada Ummi dan mengaku dia tak dapat nak faham silibus hari ini, bertambah dengan penggunaan Bahasa Inggeris sekarang..Bila fikir-fikir,kelakar tak?

Ummi bukan orang yang layak pun sebenarnya. Terlebih pula masa di UNITAR dahulu Ummi ambik IT bukan bidang pendidikan. Tapi sepanjang Ummi degree dulu, Ummi mengajar tuisyen untuk menampung kehidupan Ummi di universiti. Percaya atau tidak, Ummi memang buat duit, because education is a business! Seriously, I really earn! Kalau Ummi kira masa tu Ummi charge untuk personal bagi student UPSR saja, Ummi dapat RM30 sejam. And that was 10 years ago...

Oleh kerana ada yang mendengar tu jiran yang rapat dengan Ummi maka dijawablah, memang betul Ummi ni pelajaran tinggi Buktinya dia ada melihat Ummi keluarkan sijil-sijil Diploma & Degree Ummi masa Ummi nak masuk belajar balik kat UM sekarang. Di tambahlah pula cerita sedap lagi yang Ummi sambung belajar lagi kat UM. Pada Ummi kisah Ummi di UM, Degree & Diploma ni patutnya tak patut timbul. Hanya kerana Ummi menjadi suri rumah sepenuh masa maka isu tentang tinggi rendahnya pendidikan menjadi isu, walhal dah ramai wanita yang berpendidikan tinggi mengambil keputusan menjadi suri rumah dan menjaga sendiri anak-anak.

Ummi pernah sewaktu baru mula tinggal di sini di hina seorang pakcik di depan khalayak. Dia mengatakan Ummi ni bodoh sebab tak mahu bekerja. Bodoh sebab menghabiskan duit ibu bapa yang bersusah payah menyekolahkan Ummi. Bodoh sebab bazirkan wang hampir 1 juta ringgit kalau di kira dari mula-mula Ummi masuk sekolah hingga ke universiti. Aduh..pedihnya tuduhan..

Pesan Rasulullah dalam mendidik anak-anak:-

"Didiklah anak kamu mengikut zamannya bukan zamanmu.."

Agak-agaknya, kalau si ibu itu kurang ilmu boleh ke dia didik anaknya dengan sempurna apalagi kalau di kira dalam zaman serba canggih dan moden ini. Apalagi bila penguasaan bahasa Inggeris pun menjadi isu dalam pendidikan anak-anak. Sedihnya kita ni, dah lah tak berilmu mempertikaikan pula orang yang lebih tahu.

Beginilah, secara peribadi Ummi memang rasa rendah diri dan kebelakang. Memandangkan sahabat se-U Ummi pun semuanya berkerjaya. Tapi bukanlah keputusan ini Ummi ambil dengan mudah. Buat masa ini, inilah yang terbaik buat Ummi dan keluarga. Semoga keberkatanya akan Ummi perolehi di masa akan datang dan semoga sahabat-sahabat Ummi ini lebih mengambil ikhtibar bila melihat anak-anak yang membesar di sekeliling kita. Ada yang ibunya memang di rumah tapi anehnya anak-anak seperti terbiar tak beribu! Bertebar tak tentu hala. Ada pula ibunya terlampau sibuk sehingga hal ehwal anak-anak diletakkan sepenuhnya di tangan pengasuh. Sejauh mana  anak ini pergi,bekalan ilmu itulah yang utama. Bukan nanti dia nak jadi orang kaya atau pangkat besar tapi bagaimana dia memanfaatkan dirnya. Itulah yang utama!

Tuesday 4 October 2011

Kemeriahan Ramadhan dan Syawal

Lamanya dah tak menulis..Ada yang rindu tak? ;-) Bukan apa, Ramadhan dan Syawal adalah bulan yang amat sibuk bagi Ummi. Bukan saja sibuk dengan anak-anak malah hal-hal semasa yang berlaku di sekeliling Ummi. Sebenarnya rutin harian Ummi tu setiap hari hampir sama sahaja sebenarnya. Tapi kesibukanya sentiasa ada. Bertambah sibuklah pada bulan Ramadhan, juga pada kesibukkan menjalin silaturrahim pada Syawalnya pula.

Kalau nak cerita betapa banyaknya makan dalam Syawal ni memang tak tercerita,sampai kami sebenarnya datang sekadar untuk menjaga silaturrahim dan hati tuan rumah saja rasanya. Bayangkan 4 minggu berturut-turut sepanjang syawal kami pulang lewat setiap hujung minggu untuk memenuhi undangan yang tak menang tangan sebenarnya! Amboi..mewah betul rakyat Malaysia dengan jamuan hari raya. Terkenang anak-anak kecil di Palestin yang sentiasa tak pernah kenyang namun begitu kental jiwanya! Subbahanallah..teringin Ummi punya anak-anak secekal itu,tapi atmosfera di Malaysia ini begitu berbeza. Anak-anak di Malaysia begitu manja dan dimanjakan!

Alhamdulillah Tareq dan Fahad berpuasa penuh tahun ini...Jadi sebagai meraikan mereka tahun ini raya kami belikan mereka baju dan seluar BEN10 kesukaan mereka. Jadilah..mereka pun suka sangat! Duit raya pun alhamdulillah..Cuma tahun ini tak ada gambar raya seperti selalu. Rasanya kami tak bergambar langsung tahun ini. Kecuali gambar yang di ambil oleh adik-adik Ummi dan ipar duai. Bukan apa,kamera Ummi rosak. Itu yang malas rasanya nak ambil gambar.

Begitu pun bagi Ummi dan Abi,tahun ini adalah tahun yang paling meriah bagi kami. Kenapa? Sebab tahun ini kami rajin sangat memenuhi undangan rumah terbuka selain menziarahi rumah emakemak dan bapa-bapa saudara yang biasanya kami kunjungi setiap tahun. Mengambil kesempatan untuk ziarah-menziarahi dan menghormati yang tua, juga memenuhi jemputan sahabat handai setahun sekali.Kalau tak raya tentu payah nak berkunjung,sekali pun jiran sebelah rumah! Namun anehnya ada juga jiran tetangga yang merasakan kunjungan yang tak ada jemputan ni membebankan mereka. Siap ada yang tak buka pintu lagi! buat-buat tak dengarlah,atau yang memberi alasan sibuk untuk sekadar memeriahkan tetamu sebentar. Kefahaman kita tentang memelihara silaturrahim masih cetek! Semoga kita semua diberi kesedaran tentang pentingnya memelihara silaturrahim daripada datang menjamu selera saja!

Alhamdulillah,berakhirnya syawal juga menyaksikan Ummi mengakhiri Modul 1 pengajian Ummi. Bercuti 3 minggu sebelum menyambung kuliah seterusnya hujung bulan ini. Insya Allah juga, usrah di kawasan Ummi ini pun akan bermula minggu ini,di rumah Ummi Insya Allah Isnin ini. Akhirnya, suasana hari raya dah berakhir. Entah bertemu kembali atau tidak kemeriahan Ramadhan dan Syawal tahun depan..Ummi sebenarnya sentiasa rindukan Ramadhan dan Syawal..Ramadhan kerana keberkatanya dan Syawal kerana terjalin jalinan silaturrahimnya,bukan kerana mewahnya makan pada kedua-dua bulan ini! InsyaAllah moga diizinkan Allah bertemu kembali tahun hadapan..

Pada yang tak reti-reti meraikan Syawal dengan ziarah dan mohon keampuan,moga-moga Allah beri pertunjuk. Dan semoga tak berulang lagi tahun hadapan Insya Allah! Kesempatan ini juga Ummi gunakan untuk memohon ampun dan maaf pada semua yang rajin menjenguk-jenguk blog Ummi ni..Pada yang mengenali Ummi,jemputlah ke rumah,tak raya pun boleh ziarah silalah...