Wednesday 19 October 2011

Kisah Anak-Anak dan Kesempurnaan..

Hari ini,sedari pagi Ummi banyak sangat berfikir. Agaknya ini hari untuk merenung-renung diri kot! hehehe... Semalam sepanjang hari Ummi rasa sangat tidak sedap badan dan entah mengapa, kita yang selalu jugak rasa tak selesa badan ni selalu juga tak mengambil ikhtibar. Seperti selalu,kerenah anak-anak memang sukar di mengertikan. Hmm..anak-anak,apalah yang faham tentang penderitaan ibu bapa. Sudah lumrah, keseronokan bermain yang lebih utama. Memang tak asing juga bila ibu bapa kerap marah dengan situasi ini.

Ummi punya anak-anak yang sangat aktif. Sehingga Ummi melihat ramai orang selalu menggelengkan kepala bila melihat ragam dan kerenah anak-anak Ummi. Aduh,alangkah malu dan seganya Ummi bila berada di khalayak umum. Adakalanya Ummi mampu tersenyum pahit sahaja. Ironinya bila berada di rumah, kesabaran Ummi bagai di mamah-mamah rasanya! Sudahlah bekalan sabar yang ada di dalam dada Ummi ni pun bukanya sebanyak mana. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia, semoga Ummi dibekalkan kesabaran yang lebih tinggi.

Ummi pernah juga berbual dengan adik dan beberapa sahabat Ummi,ternyata kami para ibu ini memang sukar mengekang kemarahan apabila ia tiba. Kemuncaknya apabila rotan di gunakan sebagai medium untuk mendidik anak-anak. Kononya rasa puas, tapi entah berjaya atau tidak didikanya. Esok lusa anak-anak ini mengulangi lagi kesilapan semalam. Ummi mohon banyak-banyak agar Ummi diberi kesabaran,itu sajalah rasanya yang mampu Ummi perbuat. Semoga sahabat yang membaca coretan Ummi juga mendoakan Ummi agar banyak-banyak sabar,Insya Allah...

Teringat Ummi kata-kata Dr.Fadzilah Kamsah, katanya anak-anak yang aktif adalah anak-anak yang bijak. Kalau dia jenis budak yang diam saja,dia bukanlah tergolong dalam anak-anak yang cerdas. Semoga apa yang dibicarakan itu menjadi kenyataan, insya Allah. Kekadang Ummi juga sedar dalam melahirkan generasi baru ini cabaranya cukup hebat apalagi andai kita sangat-sangat mengharap pada kesempurnaan..Sebagai perkongsian Ummi ingin berkongsi catatan daripada seorang insan yang pernah banyak Ummi belajar daripada. Semoga menjadi manfaat kita bersama terutama dalam mendidik anak-anak. Kita tidak sempurna, begitu jugak mereka anak-anak kita..Sempurna itu milik Allah. Moga-moga peringatan ini tetap Ummi ingati sepanjang mendidik anak- anak Ummi Insya Allah!


Tiada yang sempurna (Untuk OCD's)

Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya.

Sewajarnya sebagai umatnya, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim.

Firman Allah bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.”

(al-Isra’:110)

Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud:

“Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Berusahalah mengikis sikap 'perfectionist' di dalam diri yang selama ini menyebabkan kita terperangkap dalam dunia 'serba tak kena' ini. Tidak dinafikan terdapat individu perfectionist yang menempa kejayaan didalam hidup mereka. Tetapi berapa kerat? Jika dengan sikap perfectionist ini menyebabkan kita mudarat, apa perlunya kita memiliki sifat ini?

Bagi saya, jika kita ingin kekal dengan sifat perfectionist, kita tidak boleh hidup didunia ini dan terlibat dengan orang lain, dan ini adalah sesuatu yang mustahil. Dengan gangguan OCD ini, sikap perfectionist membuat kita menjadi lebih tersiksa. Bayangkanlah, mana ada didalam dunia ini, dimana orang lain tahu apa yang kita fikirkan.

Contohnya seperti kita mahu turun dari tangga dan menuju ke sinki dapur, dan kita tidak mahu ada sesiapa menegur kita sehingga kita ke sinki, tetapi, bagaimana jika ada orang lain di rumah? tentu kita akan ditegur bila-bila masa, mungkin kita akan ditanya sesuatu perkara dan sebagainya. Ini adalah hakikat kehidupan normal. Dan orang yang menyapa kita itu melayan kita sebagai seorang normal dan waras. Tetapi kebanyakan OCD's boleh terganggu dan terasa ingin naik semula ke atas dan turun semula tanpa ditegur. Jika second round pula ada orang lain pula menyapa kita, atau telefon bimbit berbunyi? bagaimana? rasa ingin terduduk dan marah? Ini sebagai contoh kecil sahaja.

Bila perkara seperti ini berlaku, atau dalam senario yang lain (mungkin gangguan pada individu lain didalam bentuk lain, tetapi hakikatnya sama), apa yang perlu kita lakukan untuk menteramkan jiwa kita yang terganggu?

Ingatkan diri bahawa, apa yang kita hadapi ini adalah kehidupan normal manusia, dan cara pemikiran kita yang perfectionist itu membuatkan kita terpenjara. Cuba fahami ini: Apakah maksud PERFECT? = SEMPURNA.

Siapakah yang sempurna? Tiada sesiapa yang sempurna, Hanya ALLAH SWT SAHAJA YANG MAHA SEMPURNA. Adakah kita ingin menjadi Tuhan?..Oleh kerana kita bukan Tuhan, tetapi hamba, maka kerana itulah sifat perfectionist ini tidak sesuai dimiliki atau dilayan oleh kita.

Kemasan cadar tidak betul-betul rata dan licin?..katakan :

habis tu, mengapa? masuk nerakakah? Berdosakah?

Susunan buku tidak mengikut laras geometri yang tepat, katakan:

Habis tu, mengapa? adakah salah disisi Allah perkara itu?

Kita setiap hari mengucapkan:

Sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku hanya semata-mata kerana Allah SWT, Tuhan Semesta Alam.
(setiap hari 5 kali sehari kita mengulangi kalimat ini didalam solat). Maka terapkan dalam hati kita, segala yang kulakukan adalah kerana Allah, jika susunan buku itu membuat aku terganggu, adakah aku ini terganggu kerana cara susunan buku yang salah itu berdosa disisi Allah? sama sekali tidak. Maka mengapa aku mesti merasa terganggu?

Begitu jugalah dengan perkara-perkara lain, serta merta ingatkan apakah hukumnya perkara yang kita rasa terganggu itu disisi Allah. Ingatlah, bahawa hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

SUMBER :-
http://husnuzzonloa.blogspot.com/2011/10/tiada-yang-sempurna-untuk-ocds.html oleh ARJUNASETIA

No comments:

Post a Comment