Wednesday 18 May 2011

Dunia Baruku...

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, “Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam.” (Sahih – Ibnu Majah [0184])

Dunia baru aku baru bermula...Pada 14 Mei 2011 lalu aku mendaftarkan diri di UM,KL...Cuma ambil sijil saja di Akademi Pengajian Islam. Mula-mula aku pun tak berapa pasti kenapa bidang ini yang aku pilih,tapi kehendak Allah meyakinkan segalanya. Hairanya, idea nak bertukar bidang ni dah lama dalam kepala tapi bila cik abang sayang bagi idea (lebih kurang sebulan yang lalu) aku pun mula ambil serius idea menyambung pelajaran ni...
Ironinya,kerana bidang yang aku ambil ini sangat bertentangan dengan apa yang aku pernah ceburi dulu,soalan yang paling kerap aku terima "lepas ni nak buat apa bila habis blaja?". Secara peribadi aku pun belum ada idea lagi hahaha...Tapi yang aku tahu aku hanya ingin belajar,apalagi ilmu agama ini mungkin sebahagian besarnya wajar aku pelajari sedari dulu lagi!
Aku memilih pengajian Usuludin,padahal awalnya aku bercadang untuk ambil Syariah. Tapi apabila sampai di UM bila aku bertanya perbezaan dua bidang ini aku lebih tertarik pada Usuludin. Petang itu juga pengajian bermula...Hari pertama,kuliah pertama,minggu pertama, aku rasa seluruh tubuhku mengeluarkan aura yang luar biasa! Selama dua jam itu aku memandang pensyarahku memberikan syarahan tanpa keluh kesah mahu pun mengantuk. Ada juga student2 UM yang ikut sama dalam kuliah tersebut. Yang nyata aku amat merasa cemburu pada mereka. Betapa bertuahnya kalian...sungguh banyak ilmu baru yang tidak pernah aku dengar aku ketahui sama sekali...Terasa begitu kerdil dan rugi yang amat sangat!

Aku sujud syukur hari itu,tanda aku amat mensyukuri di kurniakan nikmat belajar yang tak terhingga nikmatnya! Aku gembira di berikan kesempatan menghirup harumnya taman syurga di dewan kuliah itu...dan aku amat berterima kasih pada suamiku yang tercinta kerana memungkinkan segalanya menjadi nyata...Malah air mata ku mengalir deras seusai solat zohor sejurus aku diterima di akademi itu. Aku kini bergelar pelajar lagi! Aku kini akan ada rutin baru selain menguruskan rumah tangga..Alhamdulillah..kepada Allah aku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran. Kecintaan aku pada ilmu amat dalam! Dalamnya sehingga aku mencari-cari ruang dan lorong-lorong kecil untuk aku melabuhkan kefahamanku...

Surah An-Naml [27] : 15
Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
Indahnya perancangan Allah..aku pernah bercita-cita untuk berada di UM sewaktu di bangku sekolah lagi. Saban tahun bila fikirkan tentang kemasukan di U tempatan aku selalu menginginkan tempat ke UM di mana ibu pernah belajar dulu..Maha Agung Allah yang mengabulkanya walaupun setelah aku berusia 32 tahun,tidak pernah terlintas aku akan bakal mungkin berada di sini di usia ini,juga pada bidang yang amat asing bagiku...
Pada yang bertanya padaku apa rancanganku selepas ini,bohonglah kalauku katakan tiada. Tapi sejujurnya asalnya memang tiada! Kita terlalu dimomokkan dengan pandangan apa yang kita pelajari itulah yang akan kita jadi..tanpa menyedari kepentingan menuntut ilmu itu lebih dari urusan duniawi sebenarnya,apalagi bila ilmu itu bukan lagi bersifat keduniaan semata-mata...

"Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat. Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya."

Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.” (Sahih, At-Tirmidzi [2646])

Aku mencari syurga,negeri yang kekal abadi..Sahabat... moga semuanya mengerti dan dapat memahami bukan mudah perjalanan ini dan semoga aku tetap dibekalkan kekuatan dan ketetapan iman serta kefahaman sempurna, insya Allah! Doakan aku, semoga tetap teguh di jalan ini dan semoga ia memberikan aku kesudahan yang baik,amin...

No comments:

Post a Comment