Monday 9 May 2011

Keutamaan Majlis Ilmu

Keutamaan majlis ilmu disebutkan Rasulullah saw dalam sabdanya,”Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu dari rumah Allah swt lalu membaca kitab Allah swt, mempelajarinya di antara mereka kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, mereka diliputi dengan rahmat dan dikelilingi para malaikat dan mereka pun di sebut-sebut Allah di hadapan hamba-hamba yang ada di sisi-Nya.” (HR. Tirmidzi: Hadits Hasan Shahih).
Didalam riwayat dari Muawiyah bahwa Rasulullah saw keluar menuju suatu halaqoh (pekumpulan) para sahabatnya. Beliau saw bertanya,”Majlis apa kamu ?” mereka menjawab,”Kami melakukan majlis ini untuk mengingat Allah swt, memuji-Nya yang telah menunjukkan kami kepada agama islam dan nikmat-nikmatnya kepada kami.” Beliau saw bersabda,”Jibril as telah mendatangiku dan memberitahuku bahwa Allah swt membanggakan kalian dihadapan para malaikat.” (HR. Tirmidzi dan Nasa’i, Tirmidzi: Hadits Hasan Shahih).
Indahnya menghadiri majlis ilmu,terasa ketenangan, kekuatan dalam jemaah, merasa kasih sayang dan rahmat dari Allah dan paling memberi kesan ilmu yang di perolehi serasa amat menghidupkan dan menjernihkan hati... Sungguh saya merasa amat rugi pada mereka yang meninggalkan keberkatan majlis ilmu. Berdasarkan hadis di atas, amat bertuah bagi mereka yang memberatkan majlis ilmu. Bukan sahaja mendapat kemuliaan di dunia malah di langit juga. Pernahkah terbayang bagaimana agaknya  gambaran nama kita yang masih hidup di dunia ini di sebut-sebut dan di banggakan di langit walhal kaki kita masih memijak di bumi. Subhanallah.. Andai antara kita di dunia ini mengetahui,pasti kita berebut-rebut menghadiri majlis ilmu.
Usahlah kita campur adukkan kemuliaan majlis ilmu ini dengan kata-kata nista yang mencemar kemuliaanya..Kisah-kisah yang tidak perlu, perbezaan yang direka cipta, unsur-unsur yang memecah belahkan ummat..amat menyedihkan..sangat-sangat menyedihkan bila kemuliaan majlis ilmu di cemari sebegitu! Ambillah kebaikan dan persamaan antara kita iaitu kita ingin kemuliaan dan rahmat dari Allah. Tidakkah merasa rugi melepaskan peluang begitu mudah memperolehi kebaikan selagi usia masih tersisa?
Sebagai penutup bicara, marilah kita sama-sama renungi kisah yang saya petik daripada hadis Qudsi ini...

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a ia berkata : Dari Nabi s.a.w, beliau bersabda : Sesungguhnya Allah Yang Maha Memberkahi lagi Maha Tinggi memiliki banyak malaikat yang selalu mengadakan perjalanan yang jumlahnya melebihi malaikat pencatat amal, mereka senantiasa mencari majlis-majlis zikir. Apabila mereka melihat satu majlis zikir, maka mereka akan ikut duduk bersama mereka dan mengelilingi dengan sayap-sayapnya hingga memenuhi jarak antara mereka dengan langit dunia. Apabila para peserta majlis telah bersurai mereka naik menuju ke langit.

Beliau melanjutkan : Lalu Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung menanyakan mereka padahal Dia lebih mengetahui daripada mereka : Dari manakah kamu sekalian? Mereka menjawab : Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia yang sedang mensucikan, mengagungkan, membesarkan, memuji dan memohon kepada Engkau.

Allah bertanya lagi: Apa yang mereka mohonkan kepada Aku? Para malaikat itu menjawab : Mereka memohon surga-Mu.

Allah bertanya lagi: Apakah mereka sudah pernah melihat syurga-Ku? Para malaikat itu menjawab : Belum wahai Tuhan kami.

Allah berfirman : Apalagi jika mereka telah melihat syurga-Ku? Para malaikat itu berkata lagi : Mereka juga memohon perlindungan kepada-Mu.

Allah bertanya: Dari apakah mereka memohon perlindungan-Ku? Para malaikat menjawab: Dari neraka-Mu, wahai Tuhan kami.

Allah bertanya: Apakah mereka sudah pernah melihat neraka-Ku? Para malaikat menjawab : Belum.

Allah berfirman: Apalagi seandainya mereka pernah melihat neraka-Ku? Para malaikat itu melanjutkan : Dan mereka juga memohon ampunan dari-Mu.

Beliau bersabda kemudian Allah berfirman : Aku sudah mengampuni mereka dan sudah memberikan apa yang mereka minta dan Aku juga telah memberikan perlindungan kepada mereka dari apa yang mereka takutkan.

Beliau melanjutkan lagi lalu para malaikat itu berkata : Wahai Tuhan kami! Di antara mereka terdapat si Fulan yaitu seorang yang penuh dosa yang kebetulan lewat lalu duduk ikut berzikir bersama mereka.

Beliau berkata lalu Allah menjawab: Aku juga telah mengampuninya karana mereka adalah kaum yang tidak akan sengsara orang yang ikut duduk bersama mereka. (HR Muslim)




Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment